First Appeared on 25th May 2023 on BERNAMA
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Niro Ceramic Group merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) pada pertengahan 2024 dan menggunakan hasil yang dikumpul untuk inisiatif strategik syarikat hingga ke peringkat akhir dan mempercepatkan pertumbuhan jualan.
Tanpa mendedahkan jumlah yang syarikat itu merancang untuk kumpul menerusi IPO itu, Pengarah Urusannya Ian Kok berkata pembuat dan pengedar jubin itu mahu disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia kerana mereka mengunjurkan nilai jangka panjang yang bernilai untuk trajektori Niro Ceramic.
“Modal yang dijana daripada IPO itu akan digunakan dalam bidang utama seperti pengedaran, pemasaran dan pembangunan produk.
“Hasrat kami adalah untuk memaksimumkan nilai dana ini dan memperuntukkannya secara strategik kepada kawasan yang akan menambah pertumbuhan syarikat, meningkatkan kelebihan daya saing syarikat dan apa yang paling utama ialah memberi manfaat kepada pemegang saham kami,” katanya kepada Bernama.
Kok berkata apabila menjadi syarikat tersenarai, ia membolehkan Niro Ceramic meningkatkan modal yang besar daripada pasaran awam untuk membantu membiayai dan mempelbagaikan peluang pertumbuhan.
Beliau berkata walaupun syarikat itu perlu mematuhi keperluan kawal selia yang ketat untuk menjadi syarikat tersenarai, langkah itu membantu mengukuhkan ketelusan dan tadbir urus korporat.
“Sebagai hasil jangka panjang, reputasi Niro Ceramic diperkukuh dan membantu menarik lebih ramai pelabur berkualiti.
“Langkah IPO itu juga membawa Niro Ceramic ke hadapan, meningkatkan keterlihatan jenama dan pengiktirafan industri, mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama terkemuka dalam industri seramik Malaysia,” katanya.
Mencari pekerja yang sesuai
Kok berkata sekatan pergerakan penuh semasa COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021 telah menjejaskan syarikat, walaupun selepas pintu sempadan dan aktiviti ekonomi dibuka semula, perniagaan masih bergerak perlahan.
“Jika aktiviti pembinaan menjadi perlahan, perniagaan pembekal jubin juga akan terjejas,” katanya.
Kok berkata bahawa salah satu cabaran terbesar syarikat itu adalah mendapatkan pekerja yang sesuai.
Beliau berkata merekrut pekerja sukar kerana kadar pengangguran yang rendah, ia memberi kesan kepada banyak negara bukan melibatkan Malaysia sahaja.
“Walaupun tiada lagi sekatan perjalanan, salah satu cabaran paling sukar bagi industri pembinaan adalah mencari pekerja yang mencukupi. Ketika kami cuba mengembangkan perniagaan di negara jiran, kami sentiasa perlu membawa masuk pekerja baharu.
“Apa yang syarikat perlu lakukan ialah mencerminkan secara dalaman bagaimana nak jadikan diri kita menarik untuk menarik bakat yang betul serta bagaimana kami akan mengekalkan mereka sebaik sahaja mereka menyertai syarikat,” katanya.
Beliau berkata satu lagi cabaran utama adalah kos elektrik.
Kos tenaga telah meningkat secara mendadak di kebanyakan negara di seluruh dunia dan syarikat itu menjangkakan kos itu akan terus meningkat, katanya.
“Ini akan menjadi cabaran yang perlu ditangani oleh semua pengeluar termasuk syarikat kami untuk mengurangkan beberapa peningkatan kos ini, sama ada melalui produk baharu, cara kami melakukan pemasaran atau cara kami boleh menjimatkan kos dalam bidang perniagaan yang lain,” katanya.
Pacu ke arah kelestarian
Sementara itu, Kok berkata terdapat jangkaan yang semakin meningkat terhadap syarikat terutamanya syarikat tersenarai awam untuk mematuhi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Bagi memenuhi jangkaan tersebut beliau berkata syarikat mesti mempunyai struktur korporat untuk memacu semua inisiatif berkenaan.
Beliau berkata kumpulan itu sudah mempunyai struktur berasingan selain daripada ahli lembaga pengarah dan termasuk semua ahli kanan organisasi tersebut.
“Pertama, ia mestilah strategi dari atas ke bawah dengan barisan kepimpinan menguruskan usaha ini. Dari situ, kami akan mempelajari elemen yang lebih baik mengenai apa yang boleh kami lakukan untuk terus mengikut kriteria ESG,” katanya.
Kok berkata antara langkah Niro Ceramic ke arah kemampanan ialah menjana tenaga solar di ibu pejabat syarikat itu di Shah Alam, Selangor.
Beliau berkata apabila keperluan ESG semakin ketat dan mendesak, syarikat itu mencetuskan banyak usaha yang dikaitkan dengan penjimatan kos dan kecekapan tenaga.
“Pencapaian terkini ialah memperoleh akreditasi Pengisytiharan Produk Alam Sekitar (EPD) untuk kemudahan syarikat di Malaysia dan Indonesia.
“Pentauliahan EPD ini juga memberi manfaat kepada pelanggan, pembina dan pemaju hartanah kami kerana pemaju hartanah akan mendapat kelebihan apabila mereka menggunakan produk kami,” katanya.